♥ Nur Fazlina Humayra ♥
Muslimah "gedik " :)
Saturday, December 15, 2012 • 1:25 AM • 1 comments

✿.✿ بسم الله الرحمن الرحيم ✿.✿

Pada hari ini, saya melihat kebanyakan muslimah yang ku kenali sangat goyah imannya. Bagaimana saya ingin menghuraikannya? Insya-Allah saya cuba. Tidak perlu melihat pada yang jauh, cukup pada mereka yang berada di sekitarku. 

Fenomena 'berubah menjadi alim' sudah banyak berlaku. Lebih-lebih lagi saya melihat di laman sosial facebook yang beratus-ratus status dan post mengenai Islam di wall mereka. Terlalu banyak sehingga imanku tercabar. Saya hampir mendakwa mereka semua itu berlakon alim.

Maaf, saya cuba untuk tidak berprasangka yang tidak baik kepada mereka. Selama ini saya sangat berpegang kepada husnudzon (bersangka baik) dan saya tetap dengan prasangka baik kepada mereka. Moga saya yang menulis ini dijauhkan daripada perasaan ria' dan juga berasa sudah cukup alim.

Melihat kepada sahabat terdekat, perubahan yang amat ketara telah ku perhatikan. Saya sangat mengenalinya. Dahulu bertudung bawal sekarang sudah bertudung labuh. Dahulu FB nya penuh dengan luahan ketidak puas hatian, sekarang dipenuhi dengan kata-kata dan juga mutiara hikmah.

Sekali lagi iman ku tercabar apabila melihat kata-kata dan mutiara hikmah lebih ke arah mencari suami dan menanti suami yang soleh. Siapa solehah dapat suami soleh. Saya tidak pandai untuk mengarang ayat. Apapun, begitulah maksud yang ku simpulkan dari kebanyakan kata-kata yang tertera di laman terkenal itu.

Saya gembira dengan perubahan drastik itu, tetapi caranya mencabar imanku. Saya tidak layak nak tahu hatinya, berubah kerana apa. Husnodzon hati berbicara. Saya berjaya mengatasi prasangka buruk. Saya harap tulisan ini dapat membetulkan niat saya dan mereka yang ingin rapat dengan Allah.

Saya tidak pernah nafikan janji Allah dalam Al Quran yang bermaksud : 


"Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik,
dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik " (Surah an-Nur ayat 26)

Saya juga mengalami situasi mempunyai adik-beradik yang mempunyai teman wanita. Memang niatnya untuk memperisterikan teman wanitanya, tetapi caranya membimbangkan. Dia ingin mengubah wanita itu menjadi solehah. Lalu dia meminta teman wanitanya itu memakai tudung labuh dan berjubah, dia sentiasa memberi mesej kepada teman wanitanya untuk solat di awal waktu dan juga bangun tahajud.

Apakah semua itu?

Di suatu sudut yang lain pula, satu comment yang terpampang di wall rakan FB ku. 
Ku baca dengan teliti dan ingin ku kongsikan bersama kalian.

"Sangat geli melihat ustazah-ustazah berpurdah,bertudung labuh , berjubah tapi asyik post status rindukan 'imam', dan yg berkaitan dengannya. Sebaiknya gunakan imej yang terbaik itu untuk sampaikan nasihat dak dakwah buat panduan muslimah seluruhnya, bimbang orang akan gelar ini adalah contoh ' gedik yang solehah'."

Saat membacanya, apa yang kalian fikirkan? 

Saya cuma ingin berpesan, kepada mereka yang sudah berpunya atau sedang menanti, janganlah kalian berubah mengikut nafsu inginkan imam yang soleh. Dan janganlah kamu berubah kerana taat kepada kekasih hati yang ingin melihat kamu berubah.

Kalian pernah terfikir? Apakah kesudahan jika kamu berubah bukan kerana taat kepada Allah? Jika ditinggalkan oleh imam yang selama ini didamba-dambakan, bagaimana?

Beruntunglah bagi mereka yang memperoleh imam yang benar-benar ditakdirkan oleh Allah untuk dijadikannya sebagai isteri. Tetapi bagaimana yang sebaliknya? berakhir di pertengahan jalan. Takdir Allah, memutuskannya dengan dua cara. Semasa hidup atau mati.

Saya bukan ingin mengatakan saya adalah terbaik, saya pun pernah melakukan kesilapan, saya juga bukan ahli agama. Atas asbab itulah,
 saya cuba sebatikan kata-kata imam Hassan al-basri dalam hidup.

"Sesungguhnya aku menasihati kamu bukanlah bermakna aku adalah yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."

Saya sedar, saya juga tergolong di kalangan mereka yang mudah terpesona dengan lelaki soleh. Justeru, satu cara saya menjauhi mereka dengan tidak berpersatuan dengan mereka yang nampak soleh dan saya sesekali tidak akan mempunyai teman lelaki kecuali dia yang bernama suami. Moga dengan cara ini saya lebih dekat dan teguh iman kepada Allah.

Mungkin juga ada yang berfikir saya tidak cantik, sebab itu tiada siapa yang minat kepadaku. Apapun yang kalian fikirkan, terserah pada kalian. Sesungguhnya kecantikan ini hanya untuk seorang yang halal untukku. Tiadakan ku kongsi pada mereka yang belum tentu menjadi suamiku. 

Pesan khusus untuk diriku dan sahabat-sahabat muslimah, taatlah kepada Allah. Jangan lah 'taat' kepada mereka yang bukan bernama suami atau bakal suami sekalipun. Apa sahaja yang diminta oleh mereka, dengan relanya kita memberikannya.

Yakinlah, setiap yang tertutup itu lebih terindah, namun akan lebih indah lagi jika setiap yang ada pada diri itu tertutup rapat tanpa seoarang pun dapat melihatnya/membacanya.

Yang pernah melakukan kesilapan, saya berdoa kalian akan benar-benar berubah kerana taat kepada Allah. Saya sangat gembira jika Muslimah itu berubah kerana taat kepada Allah. Itu saya lebih utamakan.

"Dan taatlah kamu kepada ALLAH dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat." (Surah ali Imran ayat 132)
Saya harap tulisan ini dapat menjawab soalan sahabatku yang bertanya tentang keikhlasan mereka yang ingin berubah. Dahulu saya menjawab pertanyaan sahabatku dengan lisan. 

"Siapa kita untuk mengukur niat seseorang, insyaAllah jika benar dia tidak ikhlas Allah akan betulkan, jika sebaliknya kita yang berdosa menuduhnya."
Saya terdiam dan menamatkan jawapan setakat itu. Saya harap inisiatif menulis coretan ini dapat menjawab persoalan sahabat-sahabat di luar sana agar Allah mengampuni dosa kita semua jika kita tersalah menduga yang tidak baik lebih-lebih lagi keikhlasan seseorang.



“Semua penulis akan mati, hanya karyanya yang akan terus abadi. Maka tulislah sesuatu yang dapat membahagaikan dirimu di akhirat nanti” -Saidina Ali Bin Abi Talib-
-NurFazlinaHumayra-


Aku bukan malaikat. Dia bukan nabi. Kau bukan tuhan. Kita cuma manusia biasa. Cukuplah Allah saja yg tahu niat aku. Tak perlulah kau nak tahu.Aku bkn sesetia Khadijah.Aku bkn setakwa Fatimah.Aku bukan sepintar Aisyah.Aku bukan sehebat Sumayyah.Aku hanyalah pendosa tanpa noktah.
Diary About Link