♥ Nur Fazlina Humayra ♥
:))
Sunday, October 30, 2011 • 7:48 PM • 0 comments

 

Bismillahirrahmanirrahim...

Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w yang telah mengorbankan seluruh kehidupan baginda demi menegakkan kalimah Tauhid, kaum keluarga baginda, para sahabat yang menginfakkan kehidupan dunia mereka demi kehidupan abadi di akhirat kelak, para pejuang penegak risalah Islam yang tidak henti-henti menggenggam tali kalimah Lailaha ilallah Muhammad Rasulullah hingga akhir zaman.

Begitu lama blog ini terbiar... Maaf, keculasan saya dalam mengurus masa membuatkan saya tidak bijak dalam mengatur kehidupan. Mungkin kerana juga satu demi satu ujian datang bergolek, kadangkala 'menghempap' diri yang membuatkan saya tidak mampu untuk mencari ruang untuk bernafas. Namun setelah berfikir panjang, terasa diri ini begitu kerdil dan hina. Mengenangkan betapa lemah diri ini menghadapi ujian hidup. Allah... malu hamba padaMu.


Ujian.. ia merupakan satu bentuk 'peperiksaan' untuk mengetahui tahap keimanan hamba-Nya. Mereka yang teguh berada di jalan-Nya akan memperoleh markah yang tinggi, manakala bagi yang goyah akan menanggung akibatnya. Ujian itu bukan pada kesukaran dan kesempitan hidup semata-mata. Kesenangan hidup hidup juga merupakan ujian hidup dalam menentukan seseorang muslim itu berjaya atau gagal dalam ujian hidup.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud,
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, 'kami beriman' sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan? Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian demikian, nyata apa diketahui Allah mengenai orang yang sebenarnya beriman, dan nyata pula apa diketahui-Nya mengenai orang yang berdosa."
(Al-Ankabut : 2-3)

Ujian itu adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Tiada seorang Muslim pun yang layak mengatakan dirinya sabar dan beriman tanpa melepasi sesuatu ujian dan cabaran. Namun, kerana zat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Allah menurunkan ujian itu sesuai dengan kesanggupan hamba-Nya. Sungguh! Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya, malah menegur hamba-Nya dengan penuh kelembutan. Cuma manusia sahaja yang menzalimi diri sendiri. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud :

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

Maka, setiap ujian dan cabaran hidup adalah berbeza untuk setiap individu. Bersesuaian dengan kesanggupan kita dalam menghadapinya. Oleh kerana Allah yang menciptakan kita, maka tentu sahaja Dia yang Maha Arif dengan ciptaan-Nya. Maha suci Allah dalam mentadbir sekalian makhluk-Nya.

Mungkin kadangkala kita merasakan bahawa ujian tu sungguh berat untuk dihadapi. Namun ketahuilah, ujian itu tanda kasih dan sayang Allah buat kita. Berbahagialah mereka yang diuji hebat oleh-Nya, sedang berjuta lagi ummat manusia yang sedang leka dengan dunia. Saya pernah 'ditampar' oleh kata-kata seorang sahabat saya, Ujian itu adalah bicara dan teguran dari Allah. Dalam meningkatkan darjat keimanan disisNya sekali gus menghapuskan dosa-dosa silam. Maka bersabarlah dan redha dengan takdirNya. Merayu dan merintihlah hanya padaNya. Sesungguhnya hanya padaNya lah tempat pergantungan kita. Terima kasih sahabat yang 'menampar' saya dengan kata-kata ini yang membuatkan saya tersedar dari lamunan.

"Daripada Anas, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila Allah cinta kepada suatu kaum, maka diuji. Barangsiapa reda menerima ujian itu, Allah reda pula kepadanya. Dan barangsiapa yang marah (tidak reda), maka Allah murka kepadanya."
(H.R Imam At-Tarmizi)

Disebalik ujian itu ada seribu hikmahnya. Dan alhamdulillah Ya ALLAH, atas ujian ini keluarga besar saya bersatu demi RedhaMu. Alhamdulillah... Disebalik kesulitan itu, ada kemanisannya.




“Semua penulis akan mati, hanya karyanya yang akan terus abadi. Maka tulislah sesuatu yang dapat membahagaikan dirimu di akhirat nanti” -Saidina Ali Bin Abi Talib-
-NurFazlinaHumayra-


Aku bukan malaikat. Dia bukan nabi. Kau bukan tuhan. Kita cuma manusia biasa. Cukuplah Allah saja yg tahu niat aku. Tak perlulah kau nak tahu.Aku bkn sesetia Khadijah.Aku bkn setakwa Fatimah.Aku bukan sepintar Aisyah.Aku bukan sehebat Sumayyah.Aku hanyalah pendosa tanpa noktah.
Diary About Link